Sunday, February 8, 2009

Assalamualikum.......

Segala puji bagi Allah yang menghidup dan mematikan sesuatu. Segala puji bagi Allah yang telah memilihku sebagai seorang muslim, yang memasukkanku ke dalam daerah iman dan islam. Demi sesungguhnya tanpa dua nikmat yang paling besar ini maka sia-sialah sahaja kehidupan ini.

Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan sekalian alam ini, yang telah menganugerahkan kebijaksanaan dan kepandaian kepada manusia. Dengan anugerah itulah memampukan dan membolehkan manusia mencipta pelbagai benda termasuklah segala teknologi yang ada sekarang ini. Segala puji bagi Allah yang memberikan kekuatan dan semangat kepadaku untuk membuka blog ini dan menulis di dalamnya.

Aku memilih 'Coretan Seorang Musafir' sebagai tajuk kepada blog ini kerana aku ingin sentiasa mengingatkan kepada diriku dan kepada sesiapa sahaja yang membaca blog ini tentang hakikat kehidupan ini. Nabi SAW mengungkap tentang kehidupan ini dalam sebuah hadis dengan sabdanya:
Aku di dunia ini hanyalah bagaikan seorang penunggang kenderaan yang berehat di bawah sebatang pokok, kemudian pergi meninggalkannya” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

Sabda Rasul SAW lagi, kata Abdullah bin Umar r.a, rasulullah saw memegang bahuku lalu bersabda:
Jadilah engkau di dunia ini bagaikan orang asing, atau seorang musafir”. (Riwayat al-Bukhari).

Demikianlah hakikat kehidupan ini yang perlu difahami oleh setiap muslim. Hakikat di mana kita hanyalah musafir lalu yang singgah di dunia ini untuk seberapa ketika sebelum meneruskan semula perjalanannya. Satu perjalanan yang panjang yang akan berakhir pada dua tempat yang sangat berbeza. Satu tempat dinamakan syurga dan yang satu lagi dinamakan neraka.

Inilah kehidupan dunia kepada seorang manusia. Kehidupan seorang musafir yang perlu melengkapkan dirinya untuk satu permusafiran yang pasti berlaku. Kehidupan inilah yang akan menentukan di mana musafir itu akan pergi.

Tujuanku menulis di dalam blog ini adalah untuk memenuhi tuntutan dakwah yang dipikul oleh setiap muslim. Dakwah ini perlu dilakukan dalam pelbagai cara dan kaedah untuk mencapai hasil yang optimum.

Yang terakhir untuk coretanku yang pertama ini, aku ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan sahabat-sahabatku yang sentiasa membantuku dalam perjuangan dakwah ini. Doakan aku agar diberi kekuatan dan ilham untuk sentiasa menulis di dalam blog ini.